Daripada Addmath kepada Bahasa Arab: Kenapa blog ini beralih arah?

Kenapa lama tak update? Kekangan waktu, masa dan peluang menghalang untuk sentiasa mengemas kini blog. Tapi sebab yang paling jelas adalah disebabkan oleh perubahan bidang. 

Blog ini dibuat semasa 2013, waktu otak masih segar dengan ilmu Addmath. Sampai sekarang, Addmath masih lagi menjadi pujaan hati. Tapi sejak menyambung pengajian dalam bidang Linguistik Arab di Universiti Malaya, semakin jauh meninggalkan Matematik. 

Addmath Tak Pernah Saya Tinggalkan 

Kalau ada masa, masih lagi mencari peluang untuk menjawab persoalan-persoalan Matematik. Nanti boleh ajar anak sendiri. Tapi soalan Matematik Tambahan sekarang terlalu KBAT. Bukti pelajar kita semakin pandai dan genius. 

Pernah terfikir tak, apa kaitan Matematik dengan bahasa Arab?

Persamaan kedua-dua ilmu ini ialah kedua-duanya berstruktur dan ada formula. Kita sebagai penutur bahasa Melayu, mungkin tak terlalu memikirkan struktur susunan ayat. Tapi, apabila mempelajari bahasa asing, kita akan lebih memerhatikan gabungan-gabungan perkataan.

Tambah lagi, bahasa Arab pula bahasa yang penuh dengan tasrif. Tak seperti bahasa Melayu yang bergantung kepada imbuhan. Tidak perkecilkan mana-mana bahasa kerana saya sekarang pun mendalami linguistik Melayu.

Kenapa bahasa Arab?

Tiada sebab. Memang sebab suka belajar bahasa. Sekarang dah belajar bahasa Korea sebagai bahasa tambahan. Tapi celup-celup. Sekadar boleh memahami perbualan asas. 

Keistimewaan bahasa Arab bukan sahaja pada bahasa wahyu, tetapi kehalusan bahasa itu sendiri. Contohnya dalam ilmu faraid, ada perbezaan antara penggunaan istilah ابن (ibn) dan ولد (walad). Kedua-dua pekataan ini membawa makna "anak lelaki" tetapi berbeza pada anak dari siapa. 

Ibn ialah anak lelaki daripada sebelah ayah, Walad ialah anak lelaki dari sebelah ibu.

Jadi, istilah "anak lelaki" dalam perkahwinan baharu antara seorang duda dan janda yang masing-masing telah mempunyai anak lelaki dapat dibezakan secara jelas.

Apa Arah Baharu Blog ini?

Sekarang sedang menyambung pengajian di peringkat kedoktoran dalam bidang linguistik bahasa Arab. Jadi, perkongsian setelah ini akan cenderung ke arah perkongsian linguistik, terutamanya bidang Analisis Wacana Kritis (Critical Discourse Analysis). 

Selain itu, kerjaya hakiki ialah seorang pensyarah bahasa di Pusat Asasi UIAM Gambang. Maka, tips, kaedah dan bahan pengajaran bahasa Arab juga akan dimuatkan di sini.

Artikel lama berkaitan Add Math akan terus kekal di sini di dalam arkib blog.

Semoga bermanfaat! Terima kasih.


Comments

Popular posts from this blog

Bab 1 : Janjang

Janjang Geometri

Bab 8 : Sukatan Membulat